The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Buru Kemenangan Seterusnya Menentang Melaka United

Apr 18, 2021 - FAS

Dengan tiga mata berharga yang berjaya diraih minggu lalu, pasukan Selangor FC akan meneruskan perjuangan malam ini di Stadium Hang Jebat menentang Melaka United FC pada jam 10 malam. Perlawanan ini merupakan perlawanan pertama dari lima perlawanan pada bulan Ramadan, sebelum liga berehat seketika.

Untuk rekod, pertemuan kali terakhir kedua-dua pasukan  Gergasi Merah menentang Melaka United FC dalam Liga Super 2020 berakhir dengan keputusan 1-1 di Stadium UiTM, hasil jaringan Uche Agba (Melaka United) dan Sandro Da Silva (Selangor FC).

Kemenangan minggu lalu pasti berjaya menaikkan semangat skuad Selangor untuk meneruskan momentum yang baik serta mempamerkan aksi yang memberangsangkan untuk perlawanan malam ini.

Menurut Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor FC, pasukan berada dalam motivasi yang baik sewaktu menjalani persiapan untuk perlawanan malam ini dan akan memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

"Bagi saya, perkara yang paling penting adalah kami telah selesai menjalani sesi pemulihan terdahulu sebelum kami menganalisis corak permainan pihak lawan. Para pemain mempunyai motivasi yang baik dan mereka memberikan komitmen sepenuhnya seperti sebelum ini dalam menjayakan persiapan perlawanan."

"Kami akan mengambil aspek-aspek positif dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini dan akan meneruskan corak permainan kami, selain memperbaiki kelemahan yang perlu ditambah baik," jelasnya.

Karsten memandang tinggi  kebolehan Melaka United, namun akan memastikan anak-anak buahnya berjuang sehabis baik untuk membawa pulang 3 mata dari Stadium Hang Jebat.

"Melaka adalah pasukan yang mempunyai permainan yang bagus dan kita dapat melihatnya. Seperti banyak pasukan lain di Malaysia,  pasukan ini mempunyai penyerang tengah yang sangat tinggi dan dan pemain sayap yang lincah."
"Kami mengakui kehebatan mereka tetapi sekali lagi fokus utama adalah persembahan kami sendiri dan untuk itu, kami perlu bermain permainan yang lebih baik dan mendapatkan kemenangan."

Bagi keberadaan pemain pula, empat pemain Gergasi Merah tidak dapat di senaraikan untuk perlawanan ini seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), Halim Saari (ACL), Wan Zack Haikal (kecederaan lutut kanan) dan Tim Heubach. (Baca lebih lanjut mengenai kecederaan pemain di sini: bit.do/InfoKecederaan)

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-6 dengan 11 mata terkumpul hasil dari tiga kemenangan, dua seri dan dua kekalahan, manakala Melaka United FC pula di tempat ke-9 dengan jumlah 7 mata terkumpul. Kemenangan malam ini bakal menyaksikan Selangor FC naik ke tangga ke-5 liga melangkaui Kuala Lumpur City FC.

Semoga tiga mata penuh berjaya dibawa pulang Selangor FC malam ini dan mengekalkan momentum kemenangan sehingga tamat Liga Super 2021.

Teruskan perjuangan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan.